Pavilion Energy

 

Singapura Rancang Import Lebih Banyak Gas Asli Cecair

31 October 2013

Singapore (Berita Harian)

SINGAPURA sedang merancang mendapatkan lebih banyak bekalan gas asli cecair (LNG) supaya memenuhi keperluan elektriknya.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Encik S. Iswaran, mengumumkan bahawa Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) akan mengundang pengimport agar mengemukakan saranan bagi import LNG yang seterusnya ke Singapura.

Encik Iswaran, yang juga Menteri Kedua bagi Ehwal Dalam Negeri merangkap Perdagangan dan Perusahaan, berkata demikian ketika menghadiri Sidang Asia Gas, yang merupakan sebahagian Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (Siew) di Marina Bay Sands semalam.

Menurutnya, EMA akan melancarkan Permintaan bagi Saranan (RFP) membekalkan LNG tahun depan.

Syarikat pengimport yang berminat akan diundang mengemukakan saranan mereka, antara lain untuk membuktikan bagaimana mencapai keselamatan bekalan serta harga berdaya saing bagi Singapura.

EMA kemudian akan memilih tiga syarikat bagi peringkat kedua RFP.

Setelah tamat proses RFP tersebut, Encik Iswaran berkata EMA mungkin memberikan dua lesen, bergantung kepada permintaan pasaran dan mutu saranan yang dihantarkan.

Butiran lanjut akan diberikan EMA dalam masa dua bulan ini.

Buat masa ini, lebih 90 peratus daripada keperluan tenaga Singapura dibekalkan menerusi gas semula jadi yang disalurkan menerusi paip dari negara jiran.

Oleh itu, terminal LNG di Jurong yang bermula operasi Mei lalu merupakan sebahagian daripada usaha pemerintah mempelbagaikan sumber tenaga bagi meningkatkan keselamatan tenaga.

Dalam ucapannya semalam, Encik Iswaran berkata EMA sedang mengkaji seluas mana kapasiti di terminal itu boleh diperuntukkan bagi kontrak jangka pendek serta mengelolakan khidmat sampingan tanpa menjejas khidmat memproses LNG.

Ini akan membantu membangun pasaran gas kedua domestik di sini, kata Encik Iswaran.

Selain itu, beliau berkata EMA merancang mengakhiri sekatan mengimport gas paip menjelang 2018 atau apabila syarikat BG Group selesai membekalkan maksimum tiga juta tan gas setiap tahun.

Dengan adanya sekatan itu buat masa ini, tiada bekalan baru gas yang disalurkan masuk menerusi paip ke negara ini sekarang.

Lantaran itu, langkah memansuhkan sekatan itu akan memberi pembeli gas lebih banyak pilihan kelak.

Berucap di acara semalam juga, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pavilion Energy Group, Encik Seah Moon Ming, berkata peranan gas semula jadi kini semakin kritikal dengan sumber lain semakin berkurangan.

Tetapi ini juga membuka peluang perniagaan, kata Encik Seah.

Pavilion Gas, anak syarikat Pavilion Energy, telah pun memulakan kegiatan perdagangan LNG.

Back to Latest News