Pavilion Energy

 

Syarikat Milik Temasek Labur US$1.3b di Firma LNG Tanzania

15 November 2013

Singapore (Berita Harian)

SYARIKAT milik pelaburan pemerintah, Temasek Holdings, akan melabur AS$1.3 bilion ($1.61 bilion) bagi taruhan 20 peratus dalam firma gas asli cecair (LNG) di Tanzania, Afrika Timur.

Pavilion Energy, unit LNG Temasek, menandatangani perjanjian dengan Ophir Energy, yang memiliki 40 peratus taruhan dalam kemudahan gas di Tanzania, menurut syarikat itu dalam satu kenyataannya semalam.

Urus niaga itu dijangka selesai pada suku pertama 2014.

Pelaburan itu akan membantu Pavilion Energy mempelbagaikan bekalan LNG-nya untuk memenuhi permintaan di Asia dalam usaha Singapura menjadi hab bagi dagangan gas asli.

Bekalan pertama dari Tanzania dijadualkan pada 2020.

"Pembangunan gas asli di Tanzania menawarkan potensi yang amat besar, bukan sahaja bagi Pavilion, malah bagi Singapura dan Asia,'' ujar pengerusinya, Sri Mohd Hassan Marican, dalam satu kenyataan semalam.

Temasek menubuhkan Pavilion pada April lalu untuk membekalkan LNG kepada Asia.

"Pelaburan dalam kemudahan gas di Tanzania adalah satu pencapaian bersejarah bagi Pavilion Energy untuk membina portfolio LNG-nya. Ia menyokong rancangan kami untuk mendapatkan bekalan tenaga jangka panjang pada harga yang kompetitif bagi memenuhi permintaan bekalan tenaga di Asia.

"Ia juga merupakan satu pencapaian penting bagi kami dalam usaha menjadi hab LNG bagi Asia," ujar pula Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Pavilion Energy, Encik Seah Moon Ming

Pavilion telah meningkatkan permodalannya kepada AS$6.9 bilion daripada modal awal sebanyak AS$1 bilion awal tahun ini, katanya semalam.

Singapura, pusat dagangan minyak Asia, juga mahu menjadi hab bagi LNG, gas yang dikirimkan oleh pemilik tanker dan bukan menerusi paip.

Ia membuka terminal LNG pertama pada Mei lalu dengan keupayaan awal tahunan mencapai 3.5 juta tan yang dijadualkan meningkat kepada 6 juta tan menjelang akhir tahun ini.

Gas membekalkan 84 peratus daripada bekalan elektrik di Singapura pada 2012, menurut Penguasa Pasaran Bekalan, penguasa bekalan tenaga negara ini.

Tanker keempat dirancangkan bagi meningkatkan keupayaan negara ini kepada 9 juta tan menjelang 2016.

Ini akan membolehkan Singapura mengirimkan tempahan saat-saat akhir dan juga kargo segera kepada pembeli Asia yang inginkan kontrak singkat berbanding kontrak jangka panjang.

Syarikat-syarikat bekalan tenaga dan sumber membentuk 6 peratus daripada pelaburan Temasek, menurut laporan terbarunya yang dikeluarkan Julai lalu.

-- By Fadilah A. Majid

Back to Latest News